Perbandingan Attila The Hun mungkin asing bagi telinga Melayu dan tidak tergambar betapa jahatnya penjarahan yang dilakukan oleh pemimpin ini apatah lagi bila dikaitkan bersama kes 1MDB, walaupun tidak secara literal. Dalam sejarah Eropah, nama Attila bukan sekadar nama seorang panglima dari bangsa gasar tapi juga menjadi lambang kepada kerakusan, kemusnahan serta keruntuhan peradaban. Perbandingan Najib dan Attila bukan sekadar bunga bahasa. Ia satu kecaman moral yang sangat keras terhadap skala rompakan kewangan yang berlaku dalam sebuah negara moden.
Attila memerintah bangsa Hun pada abad ke-5 Masihi, ketika Empayar Rom sedang melemah dan terpecah antara Rom Barat dan Rom Timur. Beliau mengetuai satu ketumbukan tentera nomad dari padang rumput Kazakstan atau Mongolia dalam peta mode. Serangannya ke Balkan, Gaul dan Itali menjadikan beliau antara ancaman terbesar terhadap dunia Rom.
Tetapi kejahatan Attila bukan hanya kezaliman pada mata pedang. Inti kekuasaannya ialah penjarahan. Beliau memaksa Rom Timur membayar ufti emas yang sangat besar dan menggunakan tawanan sebagai modal rundingan. Kota-kota di sepanjang Danube dan Balkan menjadi mangsa bukan sekadar kerana diserang, tetapi kerana diperah.
Sebab itu penjarahan Attila perlu difahami dalam kerangka yang lebih luas. Apabila sesebuah kota diserang, yang musnah bukan sekadar tembok dan rumah. Hasil cukai hilang, laluan perdagangan lumpuh, petani meninggalkan tanah, penduduk menjadi pelarian, dan keyakinan terhadap pemerintah runtuh. Penjarahan tidak hanya mengambil harta yang kelihatan. Ia merosakkan sistem yang membolehkan sebuah masyarakat hidup. Attila menjarah dengan cara lama: ugutan, serangan, rampasan, tawanan dan ufti emas. Tetapi kesannya jauh lebih besar daripada nilai emas yang dibawa keluar dari Rom.
Di sinilah perbandingan dengan 1MDB menjadi tajam kerana yang dipersoalkan bukan ketenteraan datang membakar kota sebaliknya penjarahan kewangan melalui institusi moden, menggunakan syarikat, akaun bank, transaksi rentas sempadan, bon, firma kewangan, orang tengah dan struktur korporat. Kalau Attila menekan Rom dari luar, 1MDB memperlihatkan bentuk rompakan yang lebih menyakitkan: ia berlaku melalui instrumen negara sendiri. Dana yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi dan manfaat rakyat bertukar menjadi simbol kleptokrasi.
Apabila hakim menyebut bahawa skala penjarahan 1MDB, dari sudut kewangan, membuatkan Attila the Hun kelihatan seperti budak koir, maksudnya bukan Najib lebih ganas daripada Attila secara harfiah tapi dari segi skala kewangan, kompleksiti transaksi, jaringan antarabangsa dan perbandingan itu digunakan untuk menunjukkan betapa luar biasanya rompakan tersebut.
Ia menunjukkan perubahan wajah barbarisme yang datang dengan sut, akaun luar pesisir dan bahasa korporat yang kelihatan sah. Ia tidak perlu membakar kota untuk menghancurkan negara. Cukup dengan mengalihkan dana awam, membebankan hutang kepada rakyat, merosakkan reputasi negara, melemahkan institusi, dan menjadikan nama Malaysia terkenal dengan keruntuhan keyakinan terhadap pemerintahnya.
Wajar kata-kata hakim itu dibaca sebagai amaran politik dan moral. Jika Attila meninggalkan kota-kota Roman yang luka, Najib Razak meninggalkan beban hutang buat rakyatnya. Biarlah episod 1MDB menjadi pengajaran pahit buat rakyat yang yang merindukan Najib yang bukan mudah untuk pulih dari tempoh seluruh dunia melihat Malaysia sebagai negara kleptokrasi, model sebaris demokrasi tetapi dipimpin oleh kleptokrat atau bahasa Melayunya penyangak!





Leave a Reply