Ramai ibu bapa mungkin mula risau bila dengar pasal Akta Keselamatan Dalam Talian atau ONSA. Ada yang tertanya, “Habis anak aku dah tak boleh guna internet?” Jawapannya, tidak.
Anak-anak masih boleh belajar, tengok kandungan pendidikan dan gunakan teknologi seperti biasa. Cuma mulai 1 Jun ini, platform digital tak boleh lagi lepas tangan bila melibatkan keselamatan anak-anak.
Apa yang akan ibu bapa mula rasa kesannya?
Kalau anak bawah umur 16 tahun cuba buka akaun media sosial tertentu, mungkin mereka akan diminta melalui proses pengesahan umur atau akses kepada sesetengah fungsi akan disekat. Ibu bapa juga mungkin mula nampak lebih banyak tetapan keselamatan automatik seperti akaun lebih tertutup, mesej daripada orang asing lebih terhad, dan cadangan kandungan yang lebih sesuai dengan umur anak.
Pendek kata, sebelum ini banyak tanggungjawab jatuh atas bahu ibu bapa sahaja. Sekarang platform pun kena pikul tanggungjawab sama.
Tapi ONSA bukan lesen untuk ibu bapa lepas tangan.
Ada beberapa persediaan yang ibu bapa elok mula buat dari sekarang.
Pertama, semak umur dan akaun media sosial anak-anak. Kalau anak bawah 16 tahun guna akaun tertentu, fahami bahawa sesetengah platform mungkin mula meminta pengesahan tambahan.
Kedua, mula belajar guna fungsi “parental control”. Ramai ibu bapa beli telefon RM1000 atau RM2000 untuk anak, tetapi tak pernah buka pun bahagian tetapan keselamatan.
Ketiga, mula ada perbualan dengan anak. Bukan setakat tanya “main telefon lagi?”, tetapi tanya siapa mereka sembang, apa mereka tengok, siapa mereka ikut dan apa yang muncul dalam video cadangan mereka.
Sebab ancaman hari ini bukan sekadar orang jahat di hujung talian.
Kadang-kadang ancaman itu datang dalam bentuk algoritma yang asyik menolak video ganas, lucah, scam atau kandungan yang buat anak leka berjam-jam tanpa sedar.
Dan apa kebaikannya kepada anak-anak?
Mereka dijangka akan kurang terdedah kepada pemangsa seksual, buli siber, penipuan dan kandungan yang tak sesuai. Orang dewasa yang tak dikenali juga akan lebih sukar menghubungi mereka sesuka hati. Kandungan yang muncul dalam carian dan cadangan juga sepatutnya lebih bersesuaian dengan umur mereka.
Dulu ramai ibu bapa rasa macam berlawan sorang-sorang.
Mulai sekarang, mesejnya lebih mudah.
Bukan ibu bapa sahaja kena jaga anak-anak dalam talian.
Platform pun kena buat kerja mereka.





Leave a Reply