Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) bukan sekadar serangan politik biasa. Ia membawa tuduhan yang amat berat melibatkan dakwaan penyaluran dana asing, campur tangan politik luar serta usaha mempengaruhi kestabilan negara melalui operasi propaganda dan mobilisasi politik domestik.
Dalam konteks ini, MANDIRI mempunyai hak penuh dari sudut undang-undang untuk mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pihak yang dianggap memfitnah atau mencemarkan nama baik mereka. Itu hak yang tidak boleh dinafikan. Namun begitu, dalam isu yang menyentuh kepentingan awam dan persepsi terhadap integriti institusi masyarakat sivil, tindakan undang-undang sahaja tidak memadai untuk meredakan keresahan rakyat.
Apa yang lebih penting ketika ini ialah keberanian untuk tampil secara terbuka dan telus menjawab dakwaan yang dibangkitkan.
Nama “Mandiri” sendiri membawa makna berdikari, bebas dan tidak bergantung kepada pihak luar. Namun apabila timbul dakwaan penerimaan dana asing dalam jumlah besar, nama itu sendiri kini mula dipersoalkan dan tercalar daripada maksud asal yang cuba dibawa. Justeru, bagi memulihkan keyakinan awam, pendekatan paling wajar bukan sekadar berlindung di sebalik ancaman saman fitnah, tetapi mendepani segala persoalan secara terbuka dan profesional.
Jika benar dana tersebut diterima untuk tujuan program masyarakat, pendidikan, advokasi atau pembangunan komuniti, maka tiada sebab untuk MANDIRI mengelakkan ketelusan penuh. Perincian mengenai sumber dana, tujuan penggunaan, bentuk program, penerima manfaat serta rekod perbelanjaan sewajarnya didedahkan secara jelas kepada umum. Dalam era maklumat terbuka hari ini, ketelusan bukan lagi pilihan tambahan, tetapi keperluan asas untuk mendapatkan semula kepercayaan masyarakat.
Lebih membimbangkan, isu ini muncul pada saat Malaysia sedang berada dalam kedudukan geopolitik yang semakin strategik di mata dunia. Ketegangan di Timur Tengah, khususnya melibatkan Selat Hormuz, telah membuktikan bagaimana laluan perdagangan dan logistik global boleh dijadikan alat tekanan ekonomi antarabangsa. Dalam keadaan itu, Selat Melaka menjadi semakin penting kepada perdagangan dunia, sekali gus menjadikan Malaysia lebih terdedah kepada percaturan kuasa-kuasa besar.
Atas sebab itu, sebarang bentuk pendanaan asing yang mempunyai niat terselindung untuk mempengaruhi politik tempatan, mencatur naratif awam atau menggugat kestabilan kerajaan tidak boleh dipandang ringan. Negara mempunyai hak untuk bersikap berhati-hati terhadap sebarang aliran dana luar yang berpotensi menjadi alat proksi geopolitik.
Ini bukan soal menolak demokrasi atau menyekat kebebasan masyarakat sivil. Sebaliknya, ia soal memastikan sempadan antara aktivisme tulen dan campur tangan asing tidak dikaburkan sehingga negara menjadi medan percaturan pihak luar.
Malaysia memerlukan masyarakat sivil yang kuat, bebas dan berani. Tetapi kekuatan itu juga mesti dibina atas asas integriti dan ketelusan yang tidak menimbulkan keraguan awam. Dalam keadaan tuduhan sebesar ini telah dilemparkan secara terbuka, penjelasan menyeluruh adalah jalan terbaik untuk meredakan polemik.
Jika tidak, persepsi bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan akan terus membesar, dan kerosakan terhadap reputasi bukan sahaja menimpa organisasi tertentu, malah boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keseluruhan ekosistem NGO dan gerakan masyarakat sivil dalam negara.





Leave a Reply